Sunday, 20 November 2011

sayang, abang minta izin untuk nikah


http://t1.gstatic.com/images?q=tbn:ANd9GcSzWa8Q_FX0hBA-bWZdNQ98u1iYVwEdD5v_PmBTT4JLubb474jE
“Sayang, Abang minta izin untuk nikah
sorang lagi,”
Aliyah yang sedang melipat kain,terdiam seketika. Mungkin terkedu.Adakah pendengarannya kian kaburlantaran usianya yang kian beranjak.
Adakah dialog tadi hanya dilafazkan didalam TV, sementelah TV juga dipasang.Tapi, ahh bukanlah. TV sedang menayangkan iklan Sunsilk, mustahil.sudah ada siri baru iklan Sunsilk? Dia menghela nafas panjang. Dia memandang sekali imbas wajah Asraf Mukmin,kemudian tersenyum.
Meletakkan kain yang telah siap dilipat di tepi, bangun lantas menuju
ke dapur. Langkahnya diatur tenang. Segelas air sejuk diteguk perlahan.
Kemudian dia ke bilik Balqis, Sumayyah, Fatimah. Rutin hariannya,
mencium puteri-puterinya sebelum dia masuk tidur. Dahulu, semasa puterinya kecil lagi, rutin itu dilakukan dengan suaminya. Kini, anak-anak kian beranjak remaja. Kemudian, dia menjenguk bilik putera bujangnya yang
berdua, si kembar, Solehin dan Farihin.
Pengabisannya dia kembali kepadasuaminya. Asraf Mukmin hanya diam,
membatu diri. Dia amat mengenali isterinya. Jodoh yang diatur keluarga
hampir 16 tahun yang lepas menghadiahkan dia sebuah keluarga yang
bahagia, Aliyah adalah ikon isteri solehah. Namun, kehadiran Qistina,
gadis genit yang menjawat jawatan pembantu tadbir kesetiausahaan di
jabatannya benar-benar membuatkan dia lemah.
“Kau mampu Asraf, dengan gaji kau, aku rasa kau mampu untuk beri makan 2
keluarga,” sokongan Hanif, teman sepejabat menguatkan lagi hujah
apabila dia berdepan dengan Aliyah.
” Abang Asraf, Qis tak kisah. Qis sanggup bermadu jika itu yang
ditakdirkan. Bimbinglah Qis, Qis perlukan seseorang yang mampu memimpin
Qis,” masih terngiang-ngiang bicara lunak Qis.
Akhir-akhir ini, panas rasanya punggung dia di rumah. Pagi-pagi,
selesai solat subuh, cepat-cepat dia bersiap untuk ke pejabat. Tidak
seperti kelaziman, dia akan bersarapan berjemaah bersama isteri dan anak-
anak.
Aduhai, penangan Qis gadis kelahiran Bumi Kenyalang benar-benar menjerat
hatinya.
” Abang , Aliyah setuju dengan permintaan Abg. Tapi, Aliyah nak
berjumpa dengan wanita tu,” Lembut dan tenang sayup-sayup suara isterinya.
Dia tahu, Aliyah bukan seorang yang panas baran. Aliyah terlalu sempurna,
baik tetapi ahh hatinya kini sedang mengilai wanita yang jauh lebih muda.
“Bawa dia ke sini, tinggalkan dia bersama Aliyah selama 1 hari saja,
boleh?” pelik benar permintaan isterinya.
Hendak dipengapakan apakah buah hatinya itu? Namun, tanpa sedar dia
menganguk, tanda setuju. Sebab, dia yakin isterinya tidak akan melakukan
perkara yang bukan-bukan.
Dan hakikatnya dia seharusnya bersyukur. Terlalu bersyukur. Kalaulah
isterinya itu wanita lain, alamatnya perang dunia meletus lah jawabnya.
Melayanglah periuk belanga. Ehhh, itu zaman dulu-dulu. Zaman sekarang ni,
isteri-isteri lebih bijak. Teringat dia kisah seorang tentera yang
disimbah dengan asid, gara-gara menyuarakan keinginan untuk menambah
cawangan lagi satu. Kecacatan seumur hidup diterima sebagai hadiah sebuah
perkahwinan yang tidak sempat dilangsungkan. Dan dia, hanya senyuman
daripada Aliyah.
“Apa, nak suruh Qis jumpa dengan isteri Abg,” terjegil bulat mata Qis
yang berwarna hijau.
“Kak Aliyah yang minta,” masih lembut dia memujuk Qis.
“Biar betul, apa dia nak buat dengan Qis?”
“Takutlah Qis, silap haribulan dia bunuh Qis!” terkejut Asraf Mukmin.
“Percayalah Qis, Aliyah bukan macam tu orangnya. Abg dah lama hidup
dengannya. Abg faham,”
Qistina mengalih pandangannya. Mahu apakah bakal madunya berjumpa
dengannya? Dia sering disogokkan dengan pelbagai cerita isteri pertama
membuli isteri kedua. Heh, ini Qistinalah. Jangan haraplah jika nak membuli
aku. Desis hati kecil Qistina.
Hari ini genap seminggu Qistina bercuti seminggu. Seminggu jugalah dia
merindu. Puas dicuba untuk menghubungi Qistina, namun tidak berjaya.
Rakan serumah menyatakan mereka sendiri tidak mengetahui ke mana
Qistina pergi. Genap seminggu juga peristiwa dia menghantar Qistina untuk
ditemuduga oleh Aliyah. Sedangkan dia diminta oleh Aliyah bermunajat di
Masjid Putra. Di masjid itu, hatinya benar-benar terusik. Sekian lamanya
dia tidak menyibukkan dirinya dengan aktiviti keagamaan di masjid Putra.
Dulu, sebelum dia mengenali Qistina, saban malam dia akan bersama dengan Aliyah serta anak-anaknya, berjemaah dengan kariah masjid. Kemudian
menghadiri majlis kuliah agama.Membaca AlQuran secara bertaranum itu
adalah kesukaannya. Namun, lenggok Qistina melalaikannya. Haruman Qistina memudarkan bacaan taranumnya. Hatinya benar-benar sunyi. Sunyi dengan tasbih, tasmid yang sering dilagukan.Seharian di Masjid Putra, dia cuba mencari dirinya, Asraf Mukmin yang dulu. Asraf Mukmin anak Imam Kampung Seputih. Asraf Mukmin yang asyik dengan berzanji. Menitis air matanya.
Hatinya masih tertanya-tanya, apakah yang telah terjadi pada hari itu.
Aliyah menunaikan tanggungjawabnya seperti biasa. Tiada kurangnya layanan Aliyah. Mulutnya seolah-olah terkunci untuk bertanya hal calon madu Aliyah.
Tit tit… sms menjengah masuk ke kantung inbox hensetnya.
“Qis minta maaf. Qis bukan pilihan terbaik utk Abg jadikan isteri. Qis
tidak sehebat kak Aliyah. Qis perlu jadikan diri Qis sehebatnya utk
bersama Abg,”
Dibawah hensetnya, ada sekeping sampul besar.
Kepada:
Asraf Mukmin,
Suami yang tersayang…
Asraf Mukmin diburu kehairanan. Sampul
berwarna cokelat yang hampir saiz
dengan A4 itu dibuka perlahan.
Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah
Lagi Maha Pengasihani,
Salam sejahtera buat suami yang
tercinta, moga redhaNya sentiasa
mengiringi jejak langkahmu.
Abg yang dikasihi,
Genap seminggu sesi temuduga yang
Aliyah jalankan pada Qistina. Terima
kasih kerana Abg membawakan Aliyah
seorang calon madu yang begitu cantik.
Di sini Aliyah kemukakan penilaian
Aliyah.
1. Dengan ukuran badan ala-ala model,
dia memang mengalahkan Aliyah yang
sudah tidak nampak bentuk badan. Baju-
bajunya memang mengikut peredaran
zaman. Tapi, Aliyah sayangkan Abg.
Aliyah tak sanggup Abg diheret ke
neraka kerana menanggung dosa.
Sedangkan dosa Abg sendiri pun, masih
belum termampu untuk dijawab di
akhirat sana , apatah lagi Abg nak
menggalas dosa org lain. Aliyah
sayangkan Abg…
2. Aliyah ada mengajak dia memasak.
Memang pandai dia masak, apatah lagi
western food. Tapi, Aliyah sayangkan
Abg. Aliyah tahu selera Abg hanya pada
lauk pauk kampung. Tapi tak tahulah
pula Aliyah kalau-kalau selera Abg
sudah berubah. Tapi, Aliyah masih
ingat lagi, masa kita sekeluarga
singgah di sebuah restoran western
food, Abg muntahkan semua makanan
western food tu. Lagi satu, anak-anak
kita semuanya ikut selera ayah mereka.
Kesian nanti, tak makan la pula anak-
anak kita. Aliyah sayangkan Abg…
3. Aliyah ada mengajak dia solat
berjemaah. Kelam kabut dibuatnya.
Aliyah minta dia jadi Imam. Yelah,
nanti dia akan menjadi ibu pada zuriat
Abg yang lahir, jadinya Aliyah
harapkan dia mampu untuk mengajar anak-
anak Abg nanti untuk menjadi imam dan
imamah yang beriman. Tapi, kalau dia
sendiri pun kelam kabut memakai
telekung… Aliyah sayangkan Abg…
Abg yang disayangi,
Cukuplah rasanya penilaian Aliyah.
Kalau diungkap satu persatu, Aliyah
tak terdaya. Abg lebih memahaminya.
Ini penilaian selama 1 hari, Abg
mungkin dapat membuat penilaian yang
jauh lebih baik memandangkan Abg
mengenalinya lebih dari Aliyah
mengenalinya.
Abg yang dicintai,
Di dalam sampul ini ada borang keizinan berpoligami. Telah siap
Aliyah tandatangan. Juga sekeping tiket penerbangan MAS ke Sarawak. Jika
munajat Abg di Masjid Putra mengiayakan tindakan Abg ini, ambillah
borang ini, isi dan pergilah kepada Qistina. Oh ya, lupa nak cakap,
Qistina telah berada di sawarak. Menunggu Abg… Aliyah sayangkan
Abg… Tetapi jika Abg merasakan Qistina masih belum cukup hebat untuk
dijadikan isteri Abg, pergilah cari wanita yang setanding dengan Aliyah…
Aliyah sayangkan Abg.
Tetapi, jika Abg merasakan Aliyah adalah isteri yang hebat untuk Abg..
tolonglah bukakan pintu bilik ni. Aliyah bawakan sarapan kegemaran Abg,
roti canai.. air tangan Aliyah.
Salam sayang,
Aliyah Najihah binti Mohd Hazery
Tangannya pantas membuka pintu
biliknya. Di situ berdiri Aliyah
Najihah bersama-sama hidangan sarapan
pagi kegemarannya. Dia tersenyum!
Benar, tiada isteri sehebat Aliyah
isterinya!!! !

Thursday, 15 September 2011

susahnya mendapat yang ikhlas


Pada zaman dahulu, ada seorang jejaka yang sangat suka membaca dan selalu menghabiskan masanya di perpustakaan pada waktu lapang. Dia amat suka membaca novel dan buku cerita. Pada suatu hari, dia telah terjumpa sebuah novel yang ada tertulis pada kulit novel itu nama dan alamat seorang gadis di salah satu muka suratnya. Tertulis di situ : "Catrina, ikhlas dan perlukan sahabat."
Tergerak hati jejaka untuk mengutus surat kepada si gadis misteri itu. Setelah pulang ke rumah, jejaka itu menulis surat untuk memberitahu niat ingin berkawan dengan gadis itu. Beberapa hari kemudian si jejaka mendapat balasan daripada gadis tersebut bahawa dia juga bersetuju untuk berkawan dengan si jejaka.
Hari betukar minggu dan minggu bertukar bulan. Persahabatan mula bertukar kepada perasaan sayang. Namun begitu mereka masih belum pernah bersua muka. Si jejaka ingin sekali bertemu si gadis misteri dan begitu juga dengan si gadis. Walaupun kedua-keduanya masih belum melihat rupa masing-masing, tetapi perasaan sayang tetap berbuku di hati.
Pada suatu hari, si jejaka dipanggil oleh bala tentera untuk pergi ke medan perang. Si jejaka merasa amat susah hati kerana dia bimbang sekiranya dia mungkin tidak dapat berjumpa dengan si gadis kesayangannya. Maka diutuskannya sepucuk surat berbunyi, "kalau Allah panjangkan jodoh kita, dan andai kamu masih sayang padaku, kita berjumpalah di stesen keretapi pada hari perang diumumkan tamat nanti. Aku akan memakai pakaian tenteraku dan membawa sekuntum mawar berwarna merah. Aku akan mengenali kamu sekiranya kamu juga memegang sekuntum bunga mawar merah. Setelah itu izinkanlah aku membawamu untuk makan malam dan bertemu orang tuaku."
Maka pergi lah jejaka ke medan perang dengan tenang setelah mengutuskan surat itu...
Beberapa bulan kemudian...
Pada hari pengumuman perang tamat, si jejaka pergi ke stesen keretapi yang dijanjikan sambil memegang sekuntum bunga mawar merah di tangannya. Diperhatikannya seorang demi seorang gadis yang berada di stesen keretapi itu sekiranya ada yang turut memegang bunga mawar merah sepertinya.
Tiba-tiba, si jejaka ternampak seorang gadis yang agak berisi, sedikit hitam dan berjerawat mukanya duduk di kerusi roda sambil melihat sekeliling seolah-olah mencari seseorang. Kakinya kudung dan tangannya cacat sebelah. Sebelah lagi tangannya memegang sekuntum bunga mawar berwarna merah. Si jejaka sangat terkejut melihat keadaan fizikal dan wajah gadis pujaannya selama ini amat berbeza dari imaginasinya, namun dia memberanikan diri menghampiri gadis tersebut.
"Catrina?"
Gadis itu melihat ke arah si jejaka dan tersenyum ceria. Si jejaka terus menghulurkan bunga mawar kepada si gadis dan berkata, "aku amat merinduimu. Terimalah bunga ini dan pelawaanku untuk makan malam bersama kedua ibu bapaku. Orang tuaku tidak sabar-sabar lagi untuk bertemu denganmu," kata jejaka itu.
Si gadis itu tersenyum lagi dan berkata, "Aku tidak tahu apa yang terjadi. Tetapi ada seorang gadis cantik jelita memberikan bunga ini kepadaku sebentar tadi. Dia memintaku memberitahu kamu bahawa dia sedang menunggu kamu di restoran di hadapan stesen ini sekiranya kamu mempelawaku makan malam dan bertemu orang tuamu."
----------TAMAT------------
Berapa ramaikah manusia yang sesuci hati jejaka ini? Dia melihat kepada hati dan bukan kepada rupa. Dia telah mengotakan janjinya dan tetap berpegang kepada perasaan sayang walaupun pada mulanya dia menjangkakan gadis cacat itu adalah Catrina. Masihkah lagi wujud lelaki seikhlas dan seluhur hati pemuda itu?

Wednesday, 14 September 2011

lafaz yang tersimpan


Telah dua tahun ayah pergi meninggalkan aku dan keluarga lainnya. Tetapi terasa baru sesaat aku bersenda gurau dengannya. Masih terngiang mutiara tazkirahnya, malah nasihatnya sentiasa mengiringi perjalanan kehidupanku.
Kehidupan sebagai seorang anak, jua selaku hamba Ilahi. Mujahadahku masih berterusan bagi memenuhi permintaanmu ayah, yakni berusaha menggapai kejayaan. Bukan hanya kejayaan di dunia bahkan jua di akhirat. Juga harapanmu kepada si anak adalah supaya anak-anakmu menjadi anak yang soleh dan solehah.
Aku sedang berusaha ayah, dan terus berusaha.
Masih segar di ingatanku pada malam seminggu sebelum pemergian ayah, aku menghubunginya seperti kebiasaanku. Selepas berbual dengan ibu, aku berborak pula dengan ayah. Wiraku.
"Assalamualaikum ayah." Sapaku.
"Waalaikumussalam, apa khabar?" jawab ayah lantas bertanyakan khabarku seperti kebiasaanya.
"Alhamdulillah, saya dah mula peperiksaan syafawi Quran pagi tadi. Syukur boleh jawab semuanya, tetapi tak tahulah macamana keputusannya nanti. Ayah doakanlah ya. Lepas ni tahriri Quran pula, kemudian madah-madah yang lain. Err lupa.. ayah apa khabar?" Panjang celotehku hingga hampir terlupa bertanya khabar.
"Ayah sihat Alhamdulillah. Ayah dah buat solat hajat untuk kamu, belajar bersungguh-sungguh. Hafal Quran ni bukanlah satu benda yang senang, perlukan mujahadah yang berterusan. Kamu dah pilih jalan ni, jadi teruskan. Jangan mudah mengaku kalah. Ayah yakin kamu dapat melakukannya."Panjang lebar jawapan ayah serentak memberi motivasi padaku.
Ayat ini memang selalu diucapkan oleh ayah supaya aku kuat dengan pilihanku ini.
"Terima kasih ayah, kenapa ayah seperti riang sahaja malam ni?" Soalku kerana terasa kelainan pada ayah.
"Eh, biasa-biasa saja, ayah tengah tengok teater lagenda P.Ramlee ni." Jawab ayah sambil ketawa lucu dengan soalanku.
Aku juga tergelak. Kemudian dia bertanya, "Bila kamu habis periksa? Cutinya bila?"
Aku tersentak dengan soalan itu lantas menjawab dengan yakinnya, "Peperiksaan sampai hujung minggu ni, tapi saya pulang lewat sikit sebab saya telah menempah tiket bas carter pelajar Kelantan-Darul Quran. Insya-Allah saya pulang 3 Mac nanti, hari Isnin."
Belum sempat aku menyempurnakan jawapanku, ayah telah menyampuk inginkan kepastian,"Hari Isnin yang akan datang ke?" Tanya ayah.
"Ya ayah, hari Isnin akan datang" Jawabku.
Ternyata ayah masih ragu dengan jawapanku. "Cuba cakap betul-betul hari Isnin bila ni?"Tanyanya lagi.
"Hari Isnin minggu depanlah ayah, kan hari ni hari Isnin. Jadi saya akan balik pada hari Isnin yang akan datang ni, seminggu daripada sekarang." Aku menjawab untuk kali yang ketiga.
"Oh, jadi kamu balik pada hari Isnin nantilah ye?" Ayah mengulang kembali jawapanku.
"Ya ayah. Insya-Allah hari Isnin nanti saya akan sampai di kampung. Hari Isnin, 3 Mac." Aku berharap ayah akan berpuas hati dengan jawapanku.
Tiba-tiba ayah bersuara mengiyakan jawapanku yang sebentar tadi. "Oh, hari Isnin depan, tak mengapalah kalau macam tu. Belajar rajin-rajin."
Benar. Ayah telah berpuas hati dengan jawapanku. "Terima kasih ayah. Minta maaf di atas segala kesilapan saya pada ayah. Doakan kejayaan saya."
 Seperti kebiasaan sebelum mengundur diri, aku akan meminta maaf dari ayah dan ibuku. Ingin sekali aku luahkan 'saya sayangkan ayah dan ibu' tetapi malu dan segan menghalang aku berbuat begitu. "Insya Allah. Maafkan ayah juga. Assalamualaikum."
"Waalaikumussalam." Jawabku. Talian diputuskan.
Itulah kali terakhir aku bercakap dengan ayah. Aargghh!! Malangkah nasib aku? Anak derhakakah aku? Selama seminggu aku tidak menghubungi ibu bapaku. Lantaran kredit panggilan yang tidak mencukupi, ia menghalangku daripada menghubungi mereka yang ku kasihi.
Aku hanya kirimkan salamku kepada mereka melalui adik dan kakakku. Seringkali aku meminta adikku sampaikan salam sayang, cinta dan kasih pada mereka, tetapi entahkan sampai entahkan tidak salam itu hanya Allah yang tahu.
Kini lafaz kasih, cinta dan sayang itu tersimpan kemas tanpa ku luahkan pada ayahku. Dan 'dia' telahpun pergi jauh meninggalkan aku. Kesal!! Teruknya aku, membiarkan perkara sebegini berlaku pada diriku. Dalam hatiku hanya Allah yang tahu betapa pedih dan tersiksanya aku. Astaghfirullah..
Namun aku redha di atas ujian yang maha hebat ini.
Selepas beberapa hari perbualan aku dengan ayah baru ku perasan bahawa 3 Mac bukanlah hari Isnin tetapi hari Selasa. Oleh kerana kredit panggilan tidak mencukupi, aku hanya menghantar mesej kepada kakakku supaya dia memberitahu ayah tentang kesilapan jawapanku beberapa malam lepas. Aku akan pulang pada 3 Mac bersamaan hari Selasa. Aku optimis yang kakakku telah menyampaikan pesananku itu kepada ayah dan ibu.
Setelah seminggu berlalu, peperiksaan berjaya ku tempuhi.
Hari Isnin, 2 March 2009.
Tengahari itu aku dan seorang ahli usrahku, Anjang Wani pergi ke pekan Kuala Kubu Bharu untuk membeli barang-barang yang masih diperlukan sempena majlis Gathering Usrah malam nanti.
Gathering ini adalah untaian dari salasilah kumpulan usrah senior kami yang terdahulu. Boleh dikatakan ia wajib bagi usrah kami mengadakannya pada setiap tahun bagi mengeratkan lagi ikatan ukhwah sesama kami. Melalui pendekatan ini ramai pelajar dari kalangan junior kami suka berusrah. Alhamdulillah.
Hari itu, hati aku tidak tenteram. Tidak lama aku dan Anjang Wani di pekan. Selepas membeli barang-barang yang diperlukan kami terus pulang ke asrama. Sampai sahaja di asrama, kami ahli usrah Ikhwatul Mardhiyyah berkumpul di bilik Ayong Hafsa di tingkat dua untuk  menyiapkan kerja-kerja yang masih berbaki.
Di dalam usrah, antara kami mempunyai gelaran yang tersendiri. Ayong, Along, Angah, Alang, Ateh, Anjang, Achik, Andak, Ude, Anje, Ayang, Ucu dan Adik. Panggilan nama menggunakan gelaran ini lebih mengeratkan ikatan ukhwah kami.
Entah kenapa hari itu hati aku resah dan gelisah, tidak seperti hari-hari yang sebelumnya. Walaupun suasana persiapan majlis begitu meriah dihiasi dengan lawak jenaka ahli-ahli usrahku, hatiku tetap berkocak.
Kadang-kadang aku rasa begitu tertekan dengan suasana itu, tetapi aku membisu. Cuma kadangkala aku bersuara namun untuk perkara yang perlu sahaja. Selalunya, merekalah tempat aku menghilangkan dukaku. Sangat berbeza dengan keadaan yang berlaku pada hari itu. Pelik.
Lebih kurang pukul 3.30 petang, handphone aku berdering. Paparan nama Kak Yah di skrin membuatkan hati aku terdetik cemas. Kecemasankah? Ah! Tidak mungkin. Tapi, seperti penting je, masakan Kak Yah akan menelefonku melalui talian celcom ini. Selalunya dia menghubungiku melalui talian maxis kerana dia juga menggunakan talian tersebut. Emm...
Aku menerima panggilannya dengan hati yang berdebar. "Hello, Assalamualaikum Kak Yah." Aku memberi salam sambil melangkah ke luar pintu supaya percakapan kami lebih jelas dan jauh dari kebingitan persiapan majlis.
"Waalaikumussalam." Suaranya serak, seperti baru selesai menangis. Aku terkejut. Lantas aku bertanya.
"Kenapa Kak Yah? Tak sihat ke?" Kak Yah diam membisu, kemudian dia bersuara.
"Sya, sabarlah. Akak baru menerima panggilan yang menyatakan ayah baru sahaja menghembuskan nafasnya yang terakhir sebentar tadi di Semerak, Tok Bali."
Hah? Benarkah apa yang aku dengar ini? Aku tergamam. Terasa kebas seluruh anggota badanku, sesak dan berat nafasku.
Ya Allah.. "Ayah..." Belum sempat aku menamatkan pertanyaanku, Kak Yah menyambung.
"Tetapi berita ini masih belum jelas, sekarang ayah dalam perjalanan ke klinik yang berdekatan untuk disahkan samada masih ada ataupun tidak. Doakan supaya ayah masih ada dan akan bersama kita lagi selepas ini." Teresak-esak Kak Yah menghabiskan kata-katanya.
Aku terkulai di pintu, tidak tahu apa lagi yang harus diperkatakan. Kak Yah bersuara lagi."Bolehlah kalau Isya nak bersiap-siap untuk pulang, kalaupun ayah masih hidup tentunya dia sedang nazak. Apa-apa hal selepas ini Kak Yah akan 'inform' balik." Terang dan jelas huraian dari kakakku walaupun suaranya serak dalam sendu.
"Baik, Kak Yah." Jawabku ringkas. Talian diputuskan.
Aku masih lemah di luar pintu, ahli-ahli usrahku tidak menyedari apa yang sedang berlaku ke atas diriku. Badanku lemah dan tidak terdaya untuk bangun mendapatkan mereka. Aku cuba untuk mengagahkan diri, namun tetap gagal. Akhirnya terkeluar di mulutku. "Andak...Andak..."Aku memanggil Andak Ain, ahli usrahku.
Andak Ain terkejut dengan panggilanku terus keluar mendapatkanku di luar pintu. "Alang, kenapa ni? Apa yang telah berlaku?" Tanya Andak Ain padaku.
"Ayah Alang..." Hanya itu yang mampu aku ucapkan, kemudian aku menangis semahunya. Dia seperti faham maksud yang ingin aku sampaikan padanya. Dia memanggil ahli usrahku yang yang lain dan memapah aku masuk ke dalam bilik. Mereka memahami keadaanku dan tidak mendesakku untuk menceritakan apakah sebenarnya yang telah berlaku.
Suasana sepi, sayu dan hiba. Akhirnya aku bersuara. "Doakan ayah Alang, akak cakap doktor belum mengesahkan lagi samada ayah masih ada ataupun tidak." Terangku tersekat-sekat.
Hatiku sayu, masih mencari kekuatan untuk redha dengan ujian ini. "Astaghfirullahal 'Azhim..."Panjang aku beristighfar seterusnya berta'awuz  supaya tidak ada ruang untuk Syaitan menyesatkanku di saat-saat genting sebegini.
Ude Diba bersuara seakan memujukku. "Alang.. Sabar ya, belum sah lagi ayah Alang dah meninggal. Kita doakan semoga berlaku keajaiban pada dia. Alang adalah aset terbesar pada dia tau.." Ujarnya sambil mengurut belakangku. Ahli usrahku yang lain pula memelukku. Aku menangis semahunya.
"Alang kena kuat ye. Alang adalah seorang yang tabah, kami dah lama kenal Alang. Mudah lemah dan menyerah kalah bukanlah sikap Alang, kan?" Sambung seorang yang lain. Aku hanya mengangguk sebagai respon kepada mereka.
Aku menyatakan hasratku untuk pulang ke Kelantan secepat mungkin. Mereka mengiyakan. Mulanya aku ingin pulang dengan bas, tetapi mereka menyuruhku menaiki flight untuk segera sampai ke Kelantan. Memikirkan ayah. Aku terus bersetuju dengan cadangan mereka walaupun aku sedikit risau dan takut lantaran tidak pernah menjejakkan kaki ke dalam flight sebelum ini.
Tidak lama selepas itu, Kak Yah menghubungiku lagi. Kali ini berita yang disampaikannya benar-benar sahih. Dan aku telah bersedia mendengarnya walaupun jauh di sudut hatiku, aku benar-benar takut. "Sya, sabarlah. Benar ayah kita sudah tiada. Pulanglah, jenazah ayah masih di klinik dan akan dibawa pulang ke rumah Pak Su."
Aku terdiam sebentar. "Inna Lillah wa Inna Ilaihi Raji'un..." Tenang sahaja suaraku menahan sebak. Jika diturutkan hati, ingin saja aku meraung dan meratap atas pemergian ayah, tetapi syukur kerana Allah masih menetapkan kerawasan fikiranku di saat-saat yang amat sukar ini.
Tiba-tiba Kak Yah bersuara. "Bila kamu nak pulang? Kak Yah harap kamu dapat pulang secepat mungkin. Jenazah ayah tak boleh dibiarkan lama untuk dikebumi."
"Insya-Allah saya akan pulang menaiki 'flight' malam ni. Doakan semoga segala urusan dipermudahkan." Jawabku ringkas.
Air mata tetap laju keluar walaupun sedaya upaya aku cuba menahannya daripada berterusan keluar. Aku masih mencuba untuk kuat. Ah! Aku lemah. Ya, aku lemah  ya Allah.. Yang meninggal itu adalah ayahku, dia adalah wiraku, dia adalah kehidupanku.
Aku tersedar dari lamunan apabila terdengar suara kakakku, "Insya-Allah semoga semuanya akan lancar dan selamat. Apa-apa perkembangan nanti jangan lupa hubungi Kak Yah." Serak suaranya.
"Insya-Allah, Assalamualaikum."
"Waalaikumussalam." Talian diputuskan.
Perlahan-lahan aku berjalan pulang ke bilikku dengan diiringi oleh ahli-ahli usrahku. Ya Allah, terima kasih di atas hadiah ukhwah yang tidak ternilai ini. Aku bersyukur dengan kehadiran mereka di dalam hidupku. Suka dan duka dihadapi bersama.
Berita ini cepat tersebar. Ramai yang menghubungiku, tidak kurang juga yang menziarahiku. Hanya senyuman yang mampu ku lemparkan kepada mereka sebagai tanda terima kasihku di atas keprihatinan mereka terhadapku. Aku tidak mampu bersuara, apatah lagi untuk bercerita. Mujurlah mereka memahami kondisiku pada saat itu.
Gathering usrah pada malam itu dibatalkan serta merta bagi menghormati aku dan keluarga di atas kematian ayahku. Padahal persiapan telah siap sepenuhnya.
Perasaan bersalah mula bersarang di hati. Seolah-olah kerana aku, majlis itu terpaksa dibatalkan. Bajet yang keluar untuk majlis ini juga tidak kurang banyaknya. Huh!
"Alang, jangan fikir yang bukan-bukan tentang majlis kita tu ye. Semua ni adalah takdir-Nya, kita hanya merancang, Allah yang menentukan. Kita bermegah bahawa kitalah pengatur dan penyelaras, tapi apakah kita lupa bahawa Allah lebih hebat percaturan-Nya." Lembut suara Ateh menenangkanku apabila aku menyuruh mereka meneruskan majlis pada malam itu.
"Apa guna bersaudara jika kami di sini bergembira, sedangkan Alang di sana sedang berduka."Sambung ahli usrahku yang lain. Semakin aku terharu dengan ikatan ukhwah ini. Terima kasih ya Allah.
Tidak banyak bercakap pada waktu itu lebih mendorong diriku untuk menangis dan menangis. Menjawab pertanyaan sahabat-sahabat juga membuatkan aku menangis.
Solusinya, aku memperbanyakkan istighfar dan zikir pada Allah. Jahatnya Syaitan laknatullah, dalam beristighfar pun kadangkala aku boleh terlalai seketika kemudian meratap teringatkan ayahku. Namun bila istighfarku diiringi dengan taawuz hatiku semakin tenang dari sebelumnya. Alhamdulillah.
Selepas itu, semua ahli usrahku menghantar aku ke LCCT, kecuali dua orang naqibahku. Ini kerana van yang kami naiki telah melebihi had muatannya.
Hebatnya kuasa Allah tiada siapa yang boleh mengatasi-Nya. Dia mahukan aku seteguh serikandi terdahulu dalam meniti pentas ujian kehidupan. Selepas aku redha dengan pemergian ayah, aku diuji dengan kehilangan kad pengenalan semasa proses pembelian tiket di kaunter Air Asia. Kegagalan mengemukakan kad pengenalan akan menyebabkan aku tidak dapat pulang ke kampung pada malam itu. Ahh!!!
"Macamana boleh hilang?" Tanyaku pada salah seorang dari ahli usrahku, masih segar dalam ingatanku bahawa aku telah menyerahkan kad pengenalan tersebut kepada salah seorang ahli usrahku untuk tujuan ini.
Jenuh menyelongkar di setiap beg yang dibawa dan di dalam poket jubah. Namun hasilnya tetap kosong. Di atas nasihat seorang pegawai di situ, kami terus bergegas ke balai polis airport untuk membuat laporan kehilangan. Malang sekali kerana pegawai polis yang bertugas pada waktu itu enggan memberi kerjasama kerana kes sebegini kebiasaannya adalah helah daripada pendatang asing untuk membolehkan mereka mendapat pas seterusnya berjaya menaiki flight.
Setelah berbincang seketika, akhirnya laporan kami diterima. Alhamdulillah. Aku dikehendaki mengisi satu borang khas kehilangan kad pengenalan. Semasa menulis nama di borang berkenaan, tanganku tiba-tiba terhenti sewaktu aku ingin menulis nama ayah. Serentak dengan itu hatiku sebak. Aku gagal meneruskan penulisanku lagi sehingga Ude Diba menyambung penulisanku selepas itu.
Setelah urusan di balai polis selesai, kami terus ke kaunter tiket. Ude Diba yang menguruskan hal-hal berkaitan pembelian tiket kerana dia lebih arif tentang urusan sebegitu.
Alhamdulillah semua urusan telah selesai, hanya menunggu saat aku masuk ke bilik pelepasan sahaja lagi. Aku mengambil peluang untuk bersalam dan berpelukan dengan ahli usrahku. Tidak dapat aku balas segala jasa dan pengorbanan mereka padaku. Ikhwatul Mardhiyyah, kalian sentiasa di hatiku. Kemudian, kami berpisah di situ.
Pengalaman pertama menaiki flight tidak meninggalkan apa-apa kesan dan kenangan padaku, kerana pada waktu itu, berjumpa dengan ayah adalah tujuan utamaku. Gambaran wajah ayah bermain di ruang mindaku. Terkejut sekali apabila aku mendapati penumpang di belakang seat aku adalah abangku. Zainal Affendi. Aku tidak bercakap dengannya melainkan diam seribu bahasa.
Ketibaanku di airport Kota Bharu disambut oleh sahabat-sahabat dari Azhariah iaitu Dila, Zati, Faizul dan Sabri. Mereka menawarkan diri untuk menjemputku di airport lantaran ahli keluargaku yang lain sedang sibuk menguruskan jenazah ayah.
Namun Abang Fendi melarangku untuk balik dengan mereka, sebaliknya dia menyuruhku balik bersamanya supaya dapat sampai ke rumah sekaligus. Aku hanya menurut. Sahabat-sahabatku memahami keadaanku, mereka mengiyakan ajakan abangku, asalkan aku selamat sampai ke rumah untuk menatap ayah buat kali terakhir.
Dalam perjalanan, kakakku menghubungiku supaya aku menunggu jenazah ayah di masjid kerana jenazah telah dibawa turun dari rumah untuk disembahyangi di masjid sebelum dikebumikan.
Entah berapa lama perjalanan aku selamat sampai di masjid mukim Kampung Bukit Tanah, tempat tumpah darahku. Beberapa minit aku menunggu ketibaan jenazah, hatiku berdebar. Benarkah apa yang berlaku ini? Apa mungkin aku sedang bermimpi? Benarkah aku sudah tidak punya ayah lagi selepas ini? Ahh!!! Tidak... ayah masih ada, masih setia bersama kami, ingin berkongsi kisah dengan kami, melontar mutiara nasihat kepada kami...
Hakikat tidak mungkin dapat dimanipulasikan. Di saat-saat jenazah hampir sampai, aku semakin tidak boleh menerima kenyataan. Tiba-tiba aku dipeluk oleh Kak Yah. Aku tersedar. Ya, ayah telah tiada. Ruang masjid dipenuhi oleh sanak saudara, situasi yang sayu dan hiba.
Tiba sahaja jenazah di masjid, Kak Yah terus membawa aku ke sisi jenazah ayah di tengah-tengah masjid. Aku menghampiri jasad ayah, terus ku peluk sekujur tubuh yang kaku dan dingin itu. Ku kucup pipinya, aku mencium dahinya. Sejuk.
Terketar-ketar aku membisikkan ucapan maaf di telinganya. Aku tiada di sisinya di saat-saat akhir kehidupannya. Aku juga membisikkan ungkapan sayangku padanya. "Saya sayangkan ayah." Kalau boleh, ingin sekali aku ucapkan segala macam perkataan cinta dan kasih aku pada ayah pada waktu itu. Tapi jasad yang kaku itu mustahil sekali dapat mendengar luahanku, namun aku percaya di mana pun ayah, dia dapat mendengar bisikanku, dia juga tahu bahawa aku terlalu sayang dan kasih padanya.
Lama aku di situ, aku pun berundur ke belakang memberi laluan kepada orang ramai yang ingin menyembahyangi jenazah ayah.
Selepas itu, aku mengiringi jenazah ayah ke perkuburan. Hanya aku, Kak Nah dan dua orang kerabatku sahaja yang perempuan, selebihnya adalah lelaki di sana. Walaupun begitu, aku tetap tidak mahu pulang ke rumah Pak Su. Aku tetap ingin melihat proses pengebumian ayah. Hanya ini sahaja masa yang masih berbaki untuk aku melihat ayah sebelum kami jauh terpisah dibatasi bumi.
Semasa tanah ditimbus sedikit demi sedikit, terasa aku semakin jauh dengan ayah. "Ayah!!! Ayah!!!" adakah ayah dapat mendengar jeritan batinku ini? Apakah bisa ayah menyahut panggilanku ini? Ahh.. tidak mungkin.
Satu kejadian berlaku semasa proses pengebumian ayah, sebuah van milik kerabatku mati dengan sendirinya semasa melintasi tanah perkuburan itu, bermacam cara dibuat untuk menghidupkannya kembali namun tetap gagal. Akhirnya dia mengambil keputusan untuk membantu proses pengebumian  bersama kaum kerabat yang lain.
Selesai sahaja bacaan talkin dan doa, kerabatku itu kembali menghidupkan enjin vannya, aneh sekali vannya boleh bergerak semula. "Emm.. Mungkin kebetulan kot." Bisikku sendirian.
Dengan sempurnanya proses pengebumian, berakhirlah episod hidupku dengan seorang perwira yang aku kagumi. Dialah lelaki pertama yang aku cintai selepas ibuku. Tamatnya episod kehidupanku dengannya bukanlah bermakna akan terputus segalanya.
"Doaku akan sentiasa mengiringimu di sana. Ayah.. Janji Allah telah sampai kepadamu, moga digolongkanmu bersama para solihin, muttaqin dan muqarrabin di Syurga sana. Doaku jua, moga kelak kita sekeluarga akan dikumpulkan bersama di Syurga sana.. Amiin ya Rabb.."
~ Saudara-saudaraku sekalian, tulisan ini adalah perkongsian perasaan dan mungkin juga boleh dijadikan pengajaran bagi mereka yang segan dan malu pada perkara yang hak. Kenapa perlu malu untuk mengucap cinta kepada ayah dan ibu? Kerana cinta antara merekalah kita dilahirkan, kerana cinta mereka pada kita, kita dididik dan dibesarkan..
"...Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan dan menceraikan susunya dalam masa dua tahun; bersyukurlah kepadaKu dan kepada kedua ibu bapamu; dan kepada Aku-lah tempat kembalimu." [Surah Luqman, ayat 14]
Hargai ayah dan ibu kita selagi mereka masih bersama dengan kita. Ucaplah cinta, kasih dan sayang kita kita pada mereka.. jangan biarkan ucapan itu kejap tersimpan sehingga kelak kita tidak lagi berpeluang untuk melafazkannya.
Tolonglah buang sifat malu dan ego kita terhadap mereka. Kelakuan sahaja tidak memadai untuk menggambarkan kasih dan cinta kita pada mereka. Berjasalah pada mereka selagi mana peluang itu masih ada... Berkata hukama : "Siapa derhaka dan tidak menunaikan hak terhadap kedua ibubapanya, maka dia tidak akan terasa kesenangan dari anaknya."
"Luluh hatiku yang sayu,
Menatap wajahmu tenang dalam lena,
Kasih..
Ku zahirkan laku sedangkan diriku jauh dari lafaznya,
Dan raut tuamu memberkas jiwaku,
Meredakan rindu, mendamaikan kalbu,
Tak mungkin ku temu iras sentuhanmu,
Biarpun ku redah seluruh dunia,
Mencari gantimu.
Betapa sukarnya,
Menyusun bicara meluahkan rasa menuturkan sayang,
Kasih yang terlimpah hanya sekadar tingkah,
Cuma ungkapan kebisuan yang melindungkan,
Kalimah rahsia,
Masih ku biarkan waktu,
Melarikan lafazku kasihku padamu,
Apakah yang kan hilang andai dilisankan,
Bait penghargaan penuh kejujuran,
Tak mungkin  terlihat cinta yang merona,
Jika hanya renungan mata yang bersuara,
Bukan atur kata..
Tiada lagi ertinya pengucapan,
Andai akhir nafas dihujung helaan,
Sebelum mata rapat terpejam,
Usah biar kehilangan,
Menggantikan lafaz yang tersimpan.."
-UNIC-